SEJARAH PENUBUHAN

PENGENALAN

Akademi Integrasi Tahfiz Alfalah (AITAF) adalah merupakan sebuah pusat pendidikan komprehensif dan bersepadu khusus untuk membantu masyarakat dan golongan huffaz mengembangkan potensi diri dari aspek keilmuan akademik dan sahsiah diri. Golongan huffaz ini dilatih dan ditarbiah dengan sebaik-baiknya dengan mengekalkan jumlah hafazan Al-Quran bagi mencapai matlamat hidup setiap insan iaitu sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini.

Justeru, bagi mencapai matlamat tersebut, Akademi Integrasi Tahfiz Alfalah telah menyediakan satu platform khusus bagi pelajar huffaz ini menyambung pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kaedah cepat dan segera (Fast-Track SPM) secara bersistematik dan teratur demi memastikan setiap pelajar mendapat peluang pendidikan secara formal tanpa mengabaikan tanggungjawab pengulangan hafazan Al-Quran mereka.

Akademi ini juga ditubuhkan berasaskan kepada kewajipan menuntut ilmu yang merupakan aspek paling penting agar setiap ibadah yang dilakukan memenuhi matlamat yang sempurna.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah sesiapa yang belajar Al- Quran dan mengajarkannya.

Kami bertekad untuk membantu para huffaz ini agar berpeluang untuk bersama-sama mengikuti pengajian formal pendidikan negara seterusnya mengembangkan potensi mereka ke arah yang lebih baik dan cemerlang pada masa akan datang. Nilai tambah para huffaz ini membolehkan mereka meneroka ruang dan bidang yang diminati tanpa mengabaikan hafazan Al-Quran mereka dengan jumlah kewajipan pengulangan hafazan yang telah ditetapkan.

SEJARAH PENUBUHAN

Akademi Integrasi Tahfiz Alfalah telah mula ditubuhkan dan dijalankan bermula 1 November 2016 bertempat di Kem Mega Crystal Kuala Selangor, Selangor. Keperluan dan permintaan yang sangat tinggi daripada pelajar lepasan madrasah tahfiz terhadap pengajian Fast-Track SPM secara sistematik dan teratur telah mendorong kami untuk menubuhkan akademi sebagai Pusat Persediaan Pelajar Huffaz.

Kami telah memulakan operasi awal di kem tersebut sebagai tempat taklimat dan temuduga terbuka kepada pelajar yang berminat yang datang dari seluruh pelusuk negara termasuk Sarawak. Bahkan seorang pelajar kami yang tinggal di Mekkah, Arab Saudi telah datang ke akademi kami dan menunjukkan minat yang sangat tinggi terhadap sistem pengajian kami di sini.

Disebabkan faktor lokasi yang agak sempit dan dikhuatiri gagal menampung jumlah pelajar yang ramai, kami membuat keputusan untuk berpindah dan menyewa di lokasi baru yang lebih baik dan selesa iaitu di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor. Kami telah berpindah ke lokasi baru ini bertarikh 21 Disember 2016 dengan kos sewaan sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana pihak.